Monday, May 19, 2014

LAMAN UTAMA

1.0    INDUSTRI

1.1    Latar Belakang Industri

       Sektor perkhidmatan di Malaysia didapati semakin meningkat menjelang tahun di samping menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang merupakan kesinambungan kepada pelan rancangan pembangunan negara jangka sederhana untuk tempoh lima tahun bermula 2011 hingga 2015, kerajaan menyasarkan ekonomi yang berpaksikan pengetahuan inovatif kreatif dan berkemahiran tinggi yang dijana oleh sektor perkhidmatan. Negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor eksport pertanian, perlombongan dan elektronik selepas kegawatan yang melanda Malaysia pada tahun 2008. Pengalaman Malaysia mengharungi krisis kewangan dunia yang bergantung pada eksport telah mematangkan kerajaan untuk mengorak langkah ke ekonomi yang berpaksikan perkhidmatan. Namun sejauhmana sektor perkhidmatan ini mampu memantapkan ekonomi Malaysia dalam sub-sektor seperti bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan dan computer.
Sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK semakin meningkat selaras dengan kematangan ekonomi negara, sepertimana yang berlaku kepada negara-negara maju. Selaras dengan matlamat Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju, penekanan yang lebih tinggi hendaklah disasarkan kepada pembangunan sektor perkhidmatan sebagai jentera pertumbuhan bagi menggerak dan melestarikan ekonomi negara.Di bawah Rancangan Malaysia Ke 10 (2011 hingga 2015), sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 7.2% setahun sehingga 2015, meningkatkan sumbangannya kepada KDNK menjadi 61% menjelang akhir tempoh Rancangan berkenaan. Anggaran pelaburan baru sebanyak RM44.6 bilion diperlukan bagi sektor perkhidmatan mencapai sumbangan KDNK yang disasarkan, dengan sumbangan yang semakin meningkat daripada pelaburan langsung asing.

1.2    Industri Perkhidmatan

      Maklumat statistik pelancongan di Malaysia bagi tempoh 2005 hingga 2011 itu mendapati perbelanjaan pelancongan ke luar negara bagi 2011 mencatat aliran keluar terbesar RM21.3 bilion sejak 2005. Perbelanjaan pelancongan dalaman, kombinasi kedua-dua perbelanjaan pelancongan yang masuk ke dalam negara dan domestik, berkembang daripada RM85.9 bilion pada 2010 kepada RM96.3 bilion pada 2011 dengan mencatat pertumbuhan 12.1 peratus, katanya. Perbelanjaan pelancongan ke dalam negara menyumbang 7.5 peratus daripada jumlah eksport (barangan dan perkhidmatan) bagi 2011, penyusutan 0.3 mata peratusan daripada 2010. 
        Maklumat statistik pelancongan di Malaysia bagi 2005 hingga 2011 menunjukkan sepanjang tempoh tujuh tahun itu, perbelanjaan pelancongan menyumbang kepada jumlaheksport dilihat pada paras tertinggi pada 2009 pada 8.4 peratus. Perbelanjaan pelancongan dalaman yang mengukur jumlah permintaan pelawat asing dan domestik, mencatat nilai RM96.3 bilion pada 2011 berbanding RM52.1 bilion pada 2005. Pada 2011, perbelanjaan pelancong dalaman berbelanja kebanyakannya dalam membeli belah (32.7 peratus) dan penginapan (22.8 peratus). Sebagai tambahan, pelawat berkenaan berbelanja 17.9 peratus dalam perkhidmatan pengangkutan penumpang, katanya.
 Bagaimanapun pada 2005, pelawat dalaman kebanyakannya berbelanja ke atas penginapan (27.8 peratus), disusuli perkhidmatan pengangkutan penumpang (22.9 peratus) dan makanan dan minuman (20.7 peratus). Perbelanjaan pelancongan dalaman bagi 2011 ialah 10.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Perkongsian perbelanjaan pelancongan ke dalam negara kepada KDNK ialah sebanyak 6.8 peratus, domestik 4.1 peratus dan pelancongan ke luar negara 2.4 peratus pada 2011, berbanding pada 2010, masing-masing sebanyak 7.3 peratus, 3.5 peratus dan 2.3 peratus.

1.3    Sektor Perkhidmatan Pelancongan Dan Umrah

         INDUSTRI pelancongan Muslim khususnya pakej haji dan umrah di negara ini dilihat semakin berkembang dan dianggarkan bilangan yang menunaikan umrah meningkat saban tahun. Tahun lalu saja mencecah hampir 90,000 orang.
Peningkatan itu didorong kekuatan kewangan umat Islam, selain mendapati menunaikan haji kecil juga wajib yang mampu. Lantaran pasaran luas, tidak hairanlah ribuan agensi pelancongan dan pengembaraan yang berdaftar atau tidak dengan Kementerian Pelancongan.

1.4    Penglibatan Bumiputera Dalam Industri Pelancongan.

     Apabila memperkatakan penyertaan Bumiputera khususnya orang Melayu dalam perniagaan, rata-rata akan membayangkan ahli perniagaan orang Melayu adalah yang terlibat dengan sektor pembinaan. Dengan kata mudah sebut sahaja orang Melayu berniaga, pastinya yang berlegar di fikiran ialah orang Melayu yang menjadi kontaktor binaan.

Sebabnya sektor itulah yang asyik diperkatakan oleh semua orang dari pihak tertinggi kerajaan sehinggalah ke persidangan parti politik. Apakah orang Melayu tidak berminat dengan sektor lain?. Ataupun kerana menjadi kontraktor adalah cara mudah untuk mendapatkan perniagaan dan menjanjikan keuntungan yang lumayan dan segera?.

Amat kurang Bumiputera terlibat dengan sektor perkhidmatan dan peruncitan. Yang paling ketara ialah penglibatan orang Melayu di dalam industri pelancongan negara. Sedangkan industri ini memberikan pulangan perniagaan yang agak lumayan.

Kementerian Pelancongan seharusnya perlu menyediakan pelan yang lengkap dan menyeluruh dalam merangka strategi yang terbaik membantu usahawan Bumiputera menceburi perniagaan berkaitan pelancongan di dalam mensasarkan tahap 30 peratus daripada keseluruhan nilai industri tersebut.


BUMITRA

      Berdasarkan maklumat dari Persatuan Syarikat Penggembaraan dan Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA), penglibatan Bumiputera dalam industri pelancongan negara hanya 12.5 peratus, iaitu lebih rendah dari angka petunjuk rasmi negara 18.9 peratus ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi secara keseluruhan.
       Sedangkan kerajaan mensasarkan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) industri pelancongan dijangka menjana pendapatan RM 30 bilion. Jika tiada kesungguhan dari semua pihak, sampai bila pun Bumiputera akan terus ketinggalan dalam industri pelancongan. Apakah kita mahu melihat perancangan yang dirangka dan disuntik dengan begitu cemerlang dalam RMK-9, kaum Bumiputera hanya menjadi sebagai pemerhati tetap tanpa mengambil bahagian menjadi pemain dalam industri yang lumayan ini?.
      Sebagai bukti BUMITRA hanya mempunyai ahli seramai 140 syarikat sedangkan Persatuan Agen-Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mempunyai ahli seramai 2028 syarikat. Walaupun MATTA diiktiraf oleh kerajaan dan ahlinya meliputi hampir keseluruhan syarikat agen pelancongan yang ada di negara ini, dan jika mengambil kira ahli BUMITRA juga menjadi ahli MATTA, syarikat pelancongan Bumiputera hanya 6.9 peratus sahaja dari keseluruhan syarikat pelancongan yang berdaftar dengan MATTA. Ini belum lagi kita melihat berapa peratus penyertaan Bumiputera dalam sektor lain di dalam industri ini seperti sewaan kereta, kargo, bas persiaran, bot dan kapal persiaran, hotel, ajen inbound dan outbound, resort dan ajen tiket penerbangan. Kesemua sektor ini termasuk syarikat pelancongan masih kurang disertai oleh Bumiputera khususnya orang Melayu.

      Golongan belia, siswazah menganggur dan ahli perniagaan Bumiputera seharusnyalah mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan untuk menceburi industri ekonomi nombor tiga penting di negara kita.Tabung Khas Pelancongan, Tabung Infrastruktur Pelancongan dan Insentif Industri Pelancongan adalah antara dana yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan untuk menyuntik lebih ramai lagi pemain dalam industri ini. Namun masih ramai yang masih belum mengetahui kewujudan dana ini yang disalurkan ke SME Bank.Peniaga Bumiputera seharusnyalah mempelbagaikan lagi cabang perniagaan mereka dengan menyahut seruan kerajaan untuk melihat lebih ramai lagi orang Melayu menceburi industri pelancongan.

     Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) harus melihat peluang yang sudah tersedia ada ini untuk dimanfaatkan dengan sepenuhnya agar lebih ramai orang Melayu menceburi industri ini. Jangan asyik menitik beratkan industri pembinaan sahaja dan hanya membela kontraktor Melayu sahaja. Industri pelancongan juga dapat memberikan keuntungan yang baik jika diuruskan dengan betul dan berhemah. Cuma ramai yang masih tidak tahu dan takut untuk menceburi industri ini.

     Dua badan utama orang Melayu dalam perniagaan ini sepatutnya bekerjasama denga lebih erat lagi dengan Kementerian Pelancongan di dalam membantu orang Melayu. Pelesenan pelancongan di kementerian berkenaan masih lagi menunggu lebih ramai Bumiputera untuk memohon lesen-lesen seperti lesen perniagaan pengendalian pelancongan dan agensi pelancongan, lesen bas persiaran dan kereta sewa pandu, lesen pemandu pelancong, lesen premis penginapan pelancong dan lesen institusi latihan pelancongan.Tanpa usaha bersepadu dari semua pihak, nescaya industri pelancongan negara masih kekal dimonopoli oleh bukan Bumiputera. Sasaran menjana pendapatan RM30 bilion dalam RMK-9 pasti akan "terlepas" dengan banyaknya ke tangan bukan Bumiputera yang akan mengakibatkan petunjuk rasmi ekuiti Bumiputera dalam ekonomi pasti tidak akan berubah.

        Mentaliti orang Melayu bahawa pelancongan dan melancong itu suatu yang mahal dan bertaraf tinggi perlu dihakiskan. Sikap sebegini mungkin salah satu penyebab mengapa industri pelancongan "sunyi" dengan orang Melayu. Lihat sahajalah pameran pelancongan yang diadakan setiap tahun oleh MATTA yang menawarkan pelbagai tawan pakej pelancongan dalam dan luar negeri yang menarik dan murah. Hampir 90 peratus pengunjung pameran adalah orang Cina.


1.5    Pelancongan dan Umrah

  Sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman didalam Al-Quran
     9. Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan Bagaimana kesudahan orang-orang Yang terdahulu dari mereka…. (Ar-Rum :9)
      Allah telah menciptakan bumi dan isi kehidupannya dengan penuh hikmah dan bijaksana. Allah menjadikan manusia berpasang-pasang dan pelbagai bangsa supaya manusia melakukan lita'arafu (saling kekenalan).Pepatah Melayu juga ada menyebutkan 'Jauh berjalan, luas pemandangan'. Dengan kata lain, bermusafir dan mengembara sememangnya menambah ilmu pengetahuan terhadap sesuatu perkara, menjadikan manusia lebih dewasa, berfikiran lebih luas dan terbuka.Sejak zaman Nabi Muhammad dan mungkin juga zaman terdahulu daripadanya, bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam. Ia memang digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan terutama ilmu yang berkaitan tafsiran al-Quran dan sebagainya.
Lihat sahaja tokoh ulama yang terkenal seperti Hujjatul Islam Al-Ghazali yang merantau dan mengembara ke pelosok negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang .
 Begitu juga ulama-ulama lain yang terkenal sehingga kini kerana kekayaan ilmu pengetahuannya hasil daripada pengembaraan yang tiada hujungnya seperti Imam Tarmizi, Abu Raihan al-Biruni, Ibnu Hanbal, Imam Syafie dan ramai lagi. Malahan, Nabi SAW sendiri mengembara dan merantau ke setiap pelosok negeri untuk menyebarkan Islam kepada umatnya. Dalam al-Quran ada diceritakan mengenai kisah-kisah umat yang dibinasakan terdahulu dan tempat-tempat yang dikatakan itu kini dijadikan sebagai tempat pelancongan. Kawasan-kawasan tersebut bukanlah sekadar tempat melancong, tetapi tempat untuk menginsafi akan kekuasaan Allah .Ajaran Islam tidaklah membataskan pergerakan manusia untuk bermusafir mencari pengalaman dan ilmu, tetapi mestilah disertai dengan niat yang baik untuk mempelajari sesuatu dan bukannya berbuat maksiat.Hal ini menjadikan perjalanan bermusafir seseorang itu sebagai satu ibadah.Malah dalam al-Quran,

Allah berfirman (maksudnya)
          Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan- kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?
      (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta,     tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (al-Hajj: 46)

1.6     Umrah dari perspektif bisnes masa kini

                Pada setiap tahun umat Islam di Malaysia dianggarkan sehingga seramai 70,000 orang jemaah akan berkunjung ke Tanah Suci, Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah. Berbeza dengan ibadah haji, setiap tahun ia hanya dilaksanakan sekali sahaja dengan kuota jemaah yang dianggarkan berjumlah seramai 26,000 orang. Justeru itu, wujud pelbagai jenis agensi-agensi pengelola umrah yang tumbuh seperti cendawan menceburkan diri dalam peluang ini. 
              Malangnya, sehingga hari ini, hampir sejumlah besar daripada agensi-agensi tersebut  tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya dalam perkhidmatan umrah yang ditawarkan.